Buku-buku di atas merupakan koleksi perpustakaan peribadi saya berkenaan dengan Peristiwa 13 Mei 1969. Buku-buku ini merupakan antara dokumen yang penting dalam menceritakan tentang apa yang berlaku pada tarikh yang penuh tragedi itu. Saya sedang mengumpul dokumen-dokumen yang lain untuk koleksi peribadi saya. Mungkin sebahagiannya masih ada dalam simpanan saya, tetapi belum ditemui lagi pada hari ini.
Membaca buku-buku ini menimbul gejolak perasaan yang pelbagai dalam benak pemikiran saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Ada perasaan sedih, dan simpati. Ada perasaan marah dan kecewa . Dan disebalik segala perasaan negatif itu, ada pengharapan yang masih tersimpan buat kita pewaris negara ini. Keamanan dan kedamaian ini wajib kita kekalkan bersama selaku rakyat Malaysia. Janganlah kita saling menanam kebencian, saling membezakan dan saling bermusuhan antara satu sama lain.
13 Mei 1969 tidak perlu dijadikan kebanggaan, apatah lagi diungkit-ungkit sebagai satu ancaman kepada bangsa yang lain. Tetapi tarikh tersebut patut dijadikan pengajaran kepada kita semua rakyat Malaysia supaya kita dapat kekalkan keharmonian bersama-sama. Ia merupakan tarikh yang mendukacitakan kepada kita semua.
Saya berterima kasih kepada kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan DS Anwar Ibrahim kerana bertindak tegas kepada mereka yang menyebarkan kandungan berunsurkan kebencian sebelum, semasa dan selepas PRU 15 yang lalu. Pening juga apabila menonton sebahagian daripada kandungan yang dimuatnaik oleh pengguna media sosial terutama aplikasi TikTok yang beria benar ingin mengulangi peristiwa ini. Yang sedihnya, video-video ini banyak dimuatnaik oleh anak-anak muda yang pertama kalim mengundi.