KISAH SEORANG WALI

0
 

 
Saya rasa saya pernah bertemu dengan seorang wali dahulu. Saya bukan setakat bertemu, bahkan saya juga berguru dengan wali tersebut . Wali itu bukan orang gila. Tetapi wali itu orang yang waras, ada pemikiran yang cemerlang, mempunyai jawatan yang tinggi dalam universiti bahkan mempunyai tahap pendidikan tinggi dan bertaraf profesor Madya lagi.
 
Kerja harian wali tersebut bukan hisap rokok John mahupun memberikan pisang kepada singa yang kelaparan seperti mana kisah habib Indon. Tetapi aktiviti harian wali tersebut ialah memerhati angkasa lepas , mengajar manusia tentang kehebatan ciptaan Allah dan membentangkan dari sudut akademik (dalil aqli dan naqli ) berkenaan kejadian langit dan bumi. Dia benar-benar menekuni watak yang ada dalam Surah Ali Imran ayat 190-191 yang menerangkan tentang "Ulil Albab"..
 
Beliau seorang yang zuhud, tidak menonjol, dan kelebihan material yang ada padanya tidak menenggelamkan kerendahan dirinya. Dia jarang berkopiah berserban, hanya selesa berkemeja dan bertali leher, namun dia gerakkan usaha dakwah dengan menggerakkan Halaqah usrah di kawasannya. 
 
Dia bersimposium berseminar menerangkan kebenaran Allah bukan hanya kepada orang Muslim, bahkan kepada pelbagai cendikiawan dan pencinta ilmu yang pelbagai latar belakang. Dia membuat pasakan aqidah pada diri manusia yang mendengarnya. Alhamdulillah. Sepanjang mengenali dia, dia tidak pernah menyebarkan amalan yang membuatkan orang terkejut. Apa yang diperbuat olehnya disandarkan terus kepada Allah dan rasul melalui Quran dan hadith . 
 
Tutur katanya yang lembut, bahasa dan ayat yang keluar dari mulutnya penuh hikmah dan tawaduk. Bahasa yang digunakan boleh difahami dan menimbulkan kasih sayang orang kepadanya. Bagi aku ,inilah watak seorang wali yang sebenar walaupun dia tak pernah mengaku dia ialah seorang wali. Bahkan kalau dia tahu ada orang mengkultuskan atau melabelkan dia sebagai "wali", dia tidak akan senang hati . Bahkan dia mungkin akan menafikan dan menegur orang yang mengangkatnya lebih daripada yang sepatutnya.

 

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)