ULASAN BUKU : BENARKAH TUHAN ITU WUJUD

0


Baru menghabiskan buku Benarkah Tuhan Itu Wujud yang dikarang oleh tokoh kaum muda , Ahmad Hassan atau lebih dikenali sebagai A. Hassan Bandung pada tahun 1950an. Buku ini diterbitkan kembali oleh Nubook Press pada bulan Mac 2018. Buku ini mengandungi 75 mukasurat tidak termasuk kulit buku.
 
Buku ini berkisarkan tentang perdebatan antara A. Hassan Bandung dengan Muhammad Ahsan, seorang yang ateis dari Malang, Indonesia. Perdebatan ini berlaku apabila seorang pendakwah dari Pekalongan, Tuan Abdul Ghaffar Ismail telah menyatakan bahawa orang yang tidak percaya kepada Tuhan itu sebagai orang yang tidak berakal.
 
Dakwaan ini telah disanggah oleh Muhammad Ahsan dalam akhbar Suara Rakyat yang terbit pada 9 Ogos 1955. Menurut Muhammad Ahsan, 
 
1) seseorang itu tetap berakal samada dia percaya atau tidak kepada tuhan.
2) Pencipta mesti mempunyai bentuk. Tuhan mesti mempunyai bentuk.
3) Manusia mencipta tuhan, bukan sebaliknya.
4) Segala kejadian yang berlaku merupakan reaksi alam.
5) Manusia berasal dari kera.
6) Manusia adalah ciptaan dari udara makanan dan tempat
7) Amat lucu apabila segala kebaikan itu dibalas di sesudah mati.
 
Perdebatan ini diadakan sebanyak 2 kali di Gedung Al Irsyad . Kali terakhir dibuat pada 2/3 September 1955. Kesudahan daripada perdebatan ini ialah Tuan Muhammad Ahsan mengakui kewujudan tuhan. Buku ini pada pendapat saya tidak memberatkan kepada dalil daripada Quran, hadith dan juga pandangan para ulama. 
 
Sesuai dengan lawan debatnya yang ateis dan banyak menggunakan akal untuk menentukan kewujudan tuhan, Hassan Bandung menggunakan kaedah logik akal dan perbandingan dalam menjawab kekeliruan yang wujud oleh Muhammad Ahsan . Dan kaedah ini ternyata berjaya bagi menjawab persoalan mereka yang tidak berpegang kepada dalil daripada langit (Quran dan hadith).
 
Hassan Bandung juga menjawab persoalan yang diberikan dalam konteks Sains di mana beliau dilihat begitu menguasai perkara ini terutama berkait dengan teori Darwin dan juga sel-sel.Buku ini berbaloi untuk dimiliki dan dihadam kerana pengarang lebih menekankan kepada KAEDAH menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh orang yang sangsi kepada kewujudan tuhan . 
 
Cikgu Zhafri

 

Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)