GERILA KEBAJIKAN TERUS MELAJU

0


 
Gerila Kebajikan Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar merupakan sebuah NGO yang ditubuhkan pada tahun 2017. Pada awalnya, NGO ini tidak begitu aktif pergerakannya kerana ia hanya digunakan untuk mendapatkan sumbangan lembu korban daripada kerajaan negeri setiap kali ketibaan Hari Raya Aidil Adha.
 
Namun pada awal tahun 2020, NGO ini mula mengorak langkah ke hadapan dengan menjadi platform aktif dalam menggerakkan program kebajikan di Sabak Bernam apabila pandemik COVID 19 mula melanda dunia. Bermula dari situ ,NGO ini banyak mendapat sumbangan daripada agensi kerajaan, swasta , syarikat dan juga individu dalam menggerakkan Projek Pek Makanan Asas PKP. 
 
Fokus kami lebih kepada menyantuni para penduduk di Sabak Bernam terutama di Sungai Besar . Namun dalam beberapa keadaan, kami juga membantu orang di luar Sabak Bernam seperti Misi Banjir 1.0, Misi Banjir 2.0, Misi Banjir 3.0 dan pek makanan asas . 
 
Kami tidak mempunyai sumbangan tetap daripada mana-mana pihak sama ada daripada kerajaan ,swasta mahupun syarikat-syarikat serta individu. Sumbangan untuk pergerakan kami banyak diperoleh melalui sumbangan one-off daripada pelbagai pihak yang bermurah hati menyumbang kepada kami.
 
Peralatan dan kelengkapan pesakit di Sungai Besar sebenarnya agak mahal berbanding jika dibeli melalui pembelian online. Sebab itu , dalam banyak keadaan, kami lebih suka membeli sesuatu kelengkapan pesakit itu secara online berbanding membelinya sendiri di farmasi sekitar Sabak Bernam kerana di sini harganya berlipat kali ganda lebih mahal.
 
Sebagai contoh tilam angin yang dibeli pada harga RM104.30 termasuk kos penghantaran. Harga ini adalah lebih murah daripada harga tilam udara yang dijual di Farmasi A iaitu sebanyak RM190 dan Farmasi B sebanyak RM350. Tilam udara ini penting kepada pesakit terlantar yang menggunakan katil hospital bagi mewujudkan ruang pengudaraan antara kulit pesakit dengan permukaan katil . Ia dapat mengelakkan pesakit terlantar mengalami kudis-kudis akibat terlantar lama dan berpeluh di belakang badan .
 
Begitu juga dengan harga kerusi roda di Farmasi A yang telah dibeli pada bulan lepas di mana harganya mencecah RM 530 berbanding RM 197.59 termasuk kos penghantaran jika dibeli secara online. Kerusi roda ini lebih ringan, mempunyai brek tangan bagi penolak kerusi roda dan mampu bergerak dengan baik di tempat yang mempunyai halangan di pintu . Harga untuk kerusi roda sama jenis dengan kerusi roda hospital di Sabak Bernam ialah RM380. Tak pasti harga online berapa sebab kami biasa beli kerusi roda jenis ni sebelum ini di Farmasi B. Itulah kerusi roda paling murah di sini.
 
Begitu juga pek makanan asas kami. Selain mendapatkan sumbangan daripada NGO dan syarikat-syarikat, kami juga menggunakan dana yang kami peroleh daripada sumbangan orang ramai untuk membeli pek makanan secara kecil-kecilan di sini. Kecil-kecilan bermaksud kami hanya membeli pek makanan ini hanya apabila terdapat penyumbang yang menyumbang dan hanya apabila turun ke lapangan. Biasanya pek makanan ini kami beli di 99 Speed Mart, Pasaraya Kassim mahupun kedai runcit yang lain.
 
Kenapa tidak membuat kotak makanan sendiri dan membungkus pek makanan sendiri? Bukankah lebih menjimatkan? Benar. Ia lebih menjimatkan berbanding membelinya sedikit-sedikit. Namun itulah kemampuan kami buat masa ini. Jika ada syarikat yang berminat untuk membuat Corporate Social Responsibility (CSR) dengan pihak kami, boleh hubungi saya di talian 013-3059357.
 
Sebagai sebuah NGO yang tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap, kami sangat memerlukan sumbangan daripada tuan-tuan dan puan-puan dalam menggerakkan aktiviti dan program kami. Sumbangan boleh dilakukan dalam bentuk barangan baru mahupun terpakai dan juga wang ringgit . 
 
Sumbangan wang boleh disalurkan melalui akaun berikut :
 
Nama : Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar
No. Akaun : 12056010034899
Bank : Bank Islam Malaysia Berhad
 
Sebarang pertanyaan boleh hubungi kami di talian 013-3059357
 

 


Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)