Inilah wajah moyangku Tuan Guru Haji Idris bin Lebai Saamah yang membuka pondok pengajian di Kampung Kota, Kota Bharu Kelantan. Almarhum merupakan datuk kepada arwah datukku , Cikgu Muhammad Guchil Kuala Krai .Pada malam ini dalam grup whatsapp keluargaku ada membincangkan tentang perkara ini. Secara jujurnya aku sendiri tidak begitu mengkaji susur galur keturunanku sebelum ini.
Yang aku tahu , aku mempunyai hubungan keluarga dengan Dato' Husam Musa, Almarhum Ustaz Hafiz Musa dan juga Ustazah Rihannazim yang pernah mengajar ku di Sultan Ismail College (SIC) dulu . Itu sahaja.
Yang lain begitu samar-samar. Mungkin disebabkan hampir separuh daripada usiaku berada di luar Kelantan, hubungan antara keluarga dan perasaan untuk mengkaji tentang keluarga itu menjadi begitu jauh . Bahkan aku tidak pernah terfikir pun untuk mengkaji salasilah keluargaku secara lebih mendalam.
Tapi semakin usia melangkah ke pertengahan usia ini, semakin aku merasa peri pentingnya hubungan kekeluargaan dan juga mengetahui sejarah keluarga sendiri. Sekurang-kurangnya apabila kita dapat mengetahui susur galur hidup kita, kita dapat menceritakan kepada anak cucu cicit kita tentang siapakah nenek moyang mereka . Semoga Allah merahmati Roh nenek moyangku dan menempatkan nenek moyangku di kalangan orang yang terpilih.