Alhamdulillah. Pada hari ini saya dan keluarga sempat berkunjung ke Kompleks Sejarah Pasir Salak yang terletak kira-kira sejam perjalanan atau 54 km daripada Sungai Besar , Selangor. Inilah kali pertama kami mengunjungi tempat kompleks ini . Biasanya kami hanya melihat dari jauh papan tanda kompleks ini dalam perjalanan menuju ke kampung halaman saya di Kelantan.
Kompleks Sejarah Pasir Salak ialah sebuah kompleks sejarah di Pasir Salak, Perak Tengah, Perak, Malaysia. Ianya dibina tahun 1990 atas inisiatif Tan Seri Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak ketika itu. Kompleks ini dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990. Harga tiket bagi seorang dewasa ialah RM 4 manakala RM 2 bagi kanak-kanak usia 7 hingga 12 tahun.
Terdapat banyak bahagian yang boleh kita lawati di kompleks ini. Antaranya ialah :
1) Rumah Dato' Maharaja Lela (Di bawah pengawasan Jabatan Muzium Malaysia)
2) Tugu Peringatan Pahlawan Perak
3) Kubur Si Putum
4)Kubu Dato’ Maharaja Lela (Di bawah pengawasan Jabatan Warisan)
5)Tugu Lela Rentaka I dan II
6) Pentas Belotah
7) Balai Penghulu (bukan di dalam kawasan/seliaan Kompleks Sejarah Pasir Salak)
8) Tapak Birch Dibunuh
9) Sampan Perak
10) Rumah Kutai I
11) Masjid Pasir Salak (bukan di dalam kawasan/seliaan Kompleks Sejarah Pasir Salak)
12) Perahu Naga
13) Rumah Kutai II
14) Rumah Kutai Anjang Pelita (bukan di dalam kawasan/seliaan Kompleks Sejarah Pasir Salak)
15) Terowong Sejarah (pameran berbentuk diorama bertemakan perjuangan patriotisme dan nasionalisme serta Galeri Keris)
15) Sekolah Tok Pelita (bukan di dalam kawasan/seliaan Kompleks Sejarah Pasir Salak)
16) Tugu Peringatan Birch
17) Galeri Sejarah (Galeri Menteri-Menteri Besar Perak
Kompleks Sejarah ini secara keseluruhannya amat menarik dan bersejarah. Sesiapa yang minat sejarah dan mengkaji tentang kebangkitan bangsa Melayu menentang penjajah , mereka secara automatik akan teruja melihat apa yang disajikan di sini. Saya merupakan antara peminat sejarah dan apa yang dipaparkan di kompleks ini sedikit sebanyak membuka pandangan saya seluas-luasnya terhadap perjuangan bangsa.
Bahagian Terowong Sejarah merupakan antara bahagian yang menarik di kompleks ini. Para pengunjung akan disajikan dengan diorama-diorama cantik dan kemas yang dibuat khas mengikut tarikh dan peristiwa tertentu yang berlaku sebelum peristiwa pembunuhan Birch sehinggalah kemerdekaan negara kita. Paparan penceritaan dilakukan secara kronologikal dan ayat yang digunakan untuk penerangan adalah mudah difahami oleh orang awam.
Selain terowong Sejarah , Galeri Keris juga agak menarik untuk dilawati. Kedudukannya terletak di bawah Terowong Masa di mana sebelum kita keluar ke lobi utama . terdapat tangga yang menghala ke bawah. Galeri Keris mempamerkan ratusan replika keris dan juga keris yang sebenar beserta pelbagai maklumat yang bersangkutan dengan keris. Para pengunjung juga diberikan pendedahkan tentang asal usul keris dan adab bersabit dengan keris.
Selain itu, tempat Birch dibunuh, Tugu Pahlawan Perak dan Tugu Peringatan J.W.W Birch juga menarik untuk dikunjungi. Desiran bayu lembut dari Sungai Perak dan juga panorama persekitaran cantik menghijau menambahkan lagi suasana klasik dan lama. Para pengunjung cuba di bawa kepada suasana perkampungan ratusan tahun yang lalu.
Cuma saya berada agak kecewa apabila beberapa bahagian telah ditutup dan tidak boleh lagi dikunjungi oleh orang ramai. Antaranya ialah Bangunan Utama Kompleks Sejarah,Rumah Kutai 1 , rumah Kutai 2 dan rumah Kutai 3. Rumah Kutai 2 telah dibina pada tahun 1890an dan telah dijadikan sebagai tempat apmeran peralatan senjata seperti keris, meriam, lela rentaka , lembing , lawi, sundang, senjata Inggeris, sundang, lembing , tombakl dan lain-lain. Sayangnya tempat-tempat ini semakin uzur tidak terurus.
Ada banyak tempat yang belum kami habiskan dalam lawatan kali ini. Insyaallah pada masa akan datang kami akan memfokuskan kepada tempat-tempat yang belum kami kunjungi lagi pada lawatan pertama ini. Kompleks Sejarah Pasir Salak amat menarik untuk dikunjungi. Bersedialah dengan air mineral atau makan-makanan ringan kerana selain anda masuk ke dalam muzium untuk melihat terowong Sejarah, anda juga perlu berjalan kaki untuk melihat monumen-monumen sejarah yang ada di sana. Banyak kerusi dan teduhan disediakan . Ibaratnya , anda ke sana sambil menikmati pemandangan indah dan kenangan sejarah, anda juga boleh menautkan hubungan silaturrahim sesama keluarga.