ZIARAH KE RUMAH IBU TUNGGAL KAMPUNG BANTING SABAK BERNAM

0
 
Pada petang tadi Gerila Kebajikan Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar dan NGO P.E.R.H.A.T.I mengadakan program kunjung ziarah ke sebuah rumah yang didiami oleh seorang ibu tunggal bersama 4 orang anaknya yang masih kecil di bahagian Sabak. Anak sulungnya berusia 15 tahun manakala yang bongsu berusia 4 tahun. 
 
Apa yang meruntun perasaan ialah apabila sang ibu pernah didiagnosis mempunyai kanser otak sebelum ini , namun tidak mendapatkan rawatan susulan akibat penyakitnya itu disebabkan "takut" untuk mendapatkan rawatan dan juga "anak tiada siapa nak jaga".
 
Anak kedua pula menghidap penyakit saluran darah ke jantung sempit manakala anak ketiga menghidap penyakit asma yang kronik. Anak kedua itu sudah tidak mendapatkan rawatan semenjak beberapa tahun lalu disebabkan masalah tiada kenderaan ke hospital dan kesempitan hidup manakala anak ketiga baru sahaja keluar dari wad akibat penyakit asmanya itu.
 
Keluarga ini bergantung sepenuhnya dengan bantuan zakat sebanyak RM400 sebulan . Sebelum ini, ibu tunggal ini pernah bekerja sebagai anggota RELA, namun dia tidak lagi mampu bekerja setelah kerap kali jatuh pengsan apabila bekerja . Setelah dia dibawa ke hospital , barulah dia dikesan menghidap kanser otak.
 
Bayaran sewa rumahnya bergantung sepenuhnya kepada ihsan masjid yang terdekat dengan rumahnya . Masjid itu telah membayar sewa rumahnya hampir 6 bulan semenjak dia dan anak-anaknya pindah ke rumah ini. Tahniah kepada AJK masjid yang cakna terhadap anak kariah yang dalam kesusahan ini. 
 
Semasa kami sampai ke rumah ini, dapur mereka baru kehabisan gas masak. Rupa-rupanya dia menggunakan gas masak dalam tin (portable) yang biasa orang gunakan untuk berkhemah. Jadi kami segera ke pekan berhampiran (lebih kurang 2km) untuk membeli tong gas untuk kegunaan keluarga ni. 
 
Sebelum pulang tadi, kami sempat bertanya kepada ibu muda ini, apa makanan yang dimakan hari ini? Ada lauk ke tak dalam peti sejuk tu ? Jawabnya mereka semalam dan hari ini hanya makan nasi berlaukkan telur goreng sahaja. Jadi kami pergi ke gerai berdekatan untuk membelikan lauk pauk untuk diberikan kepada keluarga ini. Benda yang boleh dimudahkan , kita permudahkan. Alhamdulillah.
Ibu ini seorang yang sangat sayangkan anak-anaknya sehinggakan banyak kali dia mengulang kata-kata "tiada siapa nak jaga anak-anak kalau saya masuk wad nanti" . Kami memujuk ibu ini untuk mendapatkan rawatan bimbang keadaannya bertambah teruk nanti. 
 
Kami telah berhubung dengan Pengerusi MPKK tempat ini yang sepatutnya bersama-sama kami dalam ziarah tadi. Namun pengerusi MPKK tidak dapat bersama-sama kami kerana terlibat dengan misi bantu banjir di luar Sabak Bernam. Insyaallah kami akan membantu keluarga ini bersama-sama Pengerusi MPKK tempat ini .
 

 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)