Pagi tadi saya sempat menyumbangkan sebuah Tablet Samsung Tab A kepada seorang anak murid saya yang tidak mempunyai gajet untuk proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).Oleh kerana Sabak Bernam diletakkan di bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana murid sudah mula pembelajaran di rumah semalam, jadi saya menyerahkan tablet itu kepada neneknya yang berkebetulan mengambil sumbangan hari raya di sekolah.
Nenek ini tinggal berdua dengan cucunya di mana ibu kepada cucunya itu telahpun meninggal dunia dua tahun lepas. Bapa kepada cucunya itu pula “direhatkan” di tempat yang “tertutup”. Dengan neneknya inilah cucunya itu bermanja dan mendapat belaian kasih mesra. Neneknya itulah menggalas peranan sebagai “bapa” dan “ibu” kepada cucunya itu.
Apabila saya bertanya kepada nenek ini adakah dia mempunyai gajet untuk kegunaan cucunya. Nenek ini menjawab bahawa dia tidak mempunyai sebarang gajet berinternet. Sebab itulah kami para guru mengambil inisiatif untuk menghantar kertas tugasan terus ke rumahnya kerana dia memang tak dapat membaca sebarang pengumuman dalam group whatsapp.
Kemudian dia menunjukkan telefon lama yang digunakannya yang hanya menggunakan fungsi telefon dan SMS sahaja . Tiba-tiba datang suatu perasaan yang bercampur baur dalam diri saya. Sayu pun ada , terharu pun ada. Seorang nenek inilah yang berjuang sehari-hari menghantar cucunya ke sekolah dengan kudratnya yang semakin melemah.
Moga Allah memberikan ganjaran pahala yang tinggi dan kesihatan pada kudratnya dalam menjaga anak yang kecil ini. Nenek ini mengingatkan saya kepada almarhumah nenek saya yang sudah 3 tahun meninggal dunia. Barangkali usia nenek ini sebaya dengan nenek saya sekiranya nenek saya masih hidup.