Memorandum Bantahan Terhadap Kontraktor : Mangkubumi Sdn. Bhd. yang mengabaikan aspek keselamatan Projek Menaiktaraf FR5 telahpun sampai kepada Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan Kementerian Kerja Raya untuk diambil tindakan. Jawatankuasa Bertindak Jalan Persekutuan FR5 (JKBFR5) berharap supaya tindakan yang bijaksana dapat diambil oleh pihak kementerian terhadap projek ini bagi memastikan projek ini tidak menjadi Jalan Raya Maut yang akan terus menghantui pengguna sepanjang Tanjong Karang ke Hutan Melintang.
Alasan yang diberikan oleh kontraktor iaitu alasan peruntukan tidak mencukupi disanggah oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Anuar Tahir semasa pertemuan Jawatankuasa Bertindak FR5 dengan Timbalan Menteri pada 20 Februari 2019 yang lalu. Apa jua alasan yang diberikan oleh kontraktor tetap tidak dapat menggantikan nyawa-nyawa yang hilang, tidak dapat menyembuh luka-luka akibat kemalangan , dan tidak juga dapat melangsaikan segala kerugian yang dialami oleh mangsa kemalangan.
Jawatankuasa Bertindak Jalan Persekutuan FR5 telahpun mengadakan pelbagai program dan aktiviti dalam memperjuangkan isu keselamatan pengguna jalan FR5.
Antaranya ialah:
•Mewujudkan talian hotline khusus untuk para pengguna FR5 melaporkan sebarang kemalangan dan kejadian yang berlaku.
• Melancarkan petisyen online dan offline khas untuk pengguna Jalan Persekutuan FR5
•Menggunakan platform Facebook dan Whatsapp untuk menyebarkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya semasa menggunakan FR5.
•Mengadakan 3 kali sidang akhbar yang dimuatkan dalam akhbar tempatan dalam usaha untuk menanam kesedaran pengguna terhadap keselamatan mereka semasa menggunakan jalan FR5 serta mewujudkan tekanan kepada pihak kontraktor terhadap 7 tuntutan kami.
• Mengadakan dua kali pertemuan dengan pihak kontraktor dalam usaha untuk mendapatkan penjelasan dan keterangan berkenaan jalan FR5
• Mengadakan road show mengutip tandatangan dan petisyen di Pasar Stadium Sungai Besar.
• Mengadakan perbincangan dengan peguam
•Mengadakan pertemuan dengan YB Tuan Ir. Izham Hashim Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Kerajaan Negeri Selangor .
• Mengadakan pertemuan dengan YB Tuan Anuar Tahir , Timbalan Menteri Kerja Raya untuk menyerahkan memorandum bantahan JKBFR5 terhadap isu keselamatan.
JKBFR5 akan meneruskan perjuangan kami seterusnya bagi memastikan keselamatan pengguna Jalan FR5 dari Tanjong Karang ke Hutan Melintang terbela. Kami amat memerlukan sokongan moral, kewangan, maklumat dan kerjasama daripada semua pihak dalam menjayakan agenda kami ini. Kami percaya bahawa kami tidak bersendirian dalam perjuangan ini kerana di belakang kami ada rakyat yang sentiasa mendokong agenda kami. Mohon doa daripada semua agar JKBFR5 dapat meneruskan perjuangan ini dengan jayanya.