Akhirnya sampai juga saya ke Jeti Ladang Sungei Bernam yang menghubungkan antara Sungai Air Tawar (Selangor) dengan Hutan Melintang (Perak) . Orang tempatan memanggilnya sebagai Jeti Kilang Sabut. Saya tak pasti bagaimana nama ini diperoleh. Mungkin ada kilang yang membekalkan sabut kelapa kot disebabkan sepanjang perjalanan saya dari Pekan Sungai Air Tawar menuju ke Jeti ini, jalan memang dikelilingi oleh ladang pokok kelapa.
Jeti ini telahpun wujud semenjak 60 tahun yang lalu. Ia menjadi nadi penghubung antara warga Sungai Air Tawar dengan Hutan Melintang. Jeti ini telah mempercepatkan jarak perjalanan antara Sungai Air Tawar dengan Hutan Melintang. Jika penggunaan kenderaan darat mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk sampai antara kedua tempat tersebut. Tetapi kita hanya perlu mengambil masa 10 minit sahaja dengan menggunakan bot penambang menyeberang sungai untuk pergi ke Hutan Melintang.
Menurut salah seorang penduduk yang saya temui tadi, dahulunya wujud sebuah jeti yang menghubungkan Sungai Air Tawar dengan Hutan Melintang dengan menggunakan feri. Tetapi lama kelamaan , perkhidmatan feri ini ditutup begitu juga dengan jeti feri tersebut. Jeti yang ada sekarang ini hanya khas untuk bot-bot yang membawa penumpang dan motosikal sahaja. Saya diberitahu bekas tapak jeti untuk feri berada tidak jauh dengan jeti bot yang ada sekarang.
Keadaan jeti bot ini agak teruk semasa kunjungan saya tadi di mana platform pendaratan bot telahpun runtuh. Terdapat juga bot karam yang berada di tepi jeti tersebut yang mencacatkan lagi pemandangan. Saya tak pasti samaada jeti ini dibawah pengendalian syarikat ladang, individu dan kerajaan. Cuma saya fikir jeti ini juga boleh dijadikan tarikan untuk pelancong sekiranya benar-benar diusahakan dengan baik. Khabarnya jeti ini masih berfungsi di mana sebuah bot penambang masih lagi digunakan di sini. Saya terfikir,sekiranya jeti ini masih lagi berfungsi, bukankah keadaan jeti ini sangat berbahaya kepada para pengguna?