Memang kebiasaan aku setiap hari ialah melihat kembali KENANGAN dalam Facebook . Kadangkala , apabila posting itu bermanfaat, aku akan share kembali. Paling tidak pun ,aku akan copy status tahun lepas kemudian aku edit kembali untuk posting baru.
Hari ini, sudah ketentuan Allah, banyak pula kenangan aku bersama-sama jemaah yang aku sertai semenjak tahun 2006 lagi. Daripada zaman Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), sayap Mahasiswa bagi Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) hinggalah ke zaman Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Secara jujurnya, aku rindukan kenangan-kenangan dulu ketika berada di Pulau Pinang dan juga Bintulu. Aku rindukan kekuatan ukhuwwah dan semangat dakwah yang subur membara di sana. Aku rindukan sentuhan nurani murobbiku .
KARISMA dan IKRAM berjaya membentuk sebahagian daripada pandang sarwa ku terhadap dunia. Namun pada masa yang sama, aku bukanlah seorang yang berpada dengan satu aliran sahaja. Aku suka bertemu ramai orang, bertemu pelbagai latar fikir, membaca buku pelbagai aliran dan mengikuti jalan yang tak ramai orang "dakwah" sepertiku jalani.
Walaupun kini aku tidak begitu aktif dengan program yang dijalankan IKRAM, tetapi kenangan-kenangan lalu takkan aku lupakan hingga akhir hayatku. Bak kata Damasutra
Akan aku pertahankan
Cintaku yang suci murni
Biarpun rindu membara
Sepanjang hidup ini
Ada orang kata macam macam kepada jemaah ini sebab mereka tak kenal pun apakah sebenarnya jemaah ini. Mereka kenal jemaah ini melalui perlakuan segelintir individu dalam jemaah ini . Bagi aku itu tidak adillah. Sebagaimana aku terbuka dalam menerima pelbagai pemikiran dan aliran, aku harap mereka yang dilihat memusuhi IKRAM juga boleh seperti ini.