Isu air Kelantan ini sudah berlarutan berpuluh tahun lamanya . Nampak macam tak pernah selesai sejak aku mula mengenal dunia. Rumah yang aku duduki di Nilam Puri usianya sudah menjangkau 27 tahun. Seingat aku, kami sekeluarga sebelum itu berpindah randah dibeberapa tempat sehinggalah akhirnya abah aku membina rumah sendiri di kampung halamannya sendiri di tepi rumah ibunya (nenekku).
27 tahun dulu aku berusia 7 tahun. Pada usia aku 7 tahun pun, isu air ini juga kedengaran di sana sini. Seingat aku juga, beberapa tahun juga keluarga kami berhadapan dengan isu baju sekolah dan kasut putih menjadi kuning sehingga terpaksa menggunakan "nila" untuk membasuhnya. Kalau tak bubuh nila semasa membasuh baju, baju dan kasut lama kelamaan bertukar menjadi sedikit kuning atau berjalur jalur kuning . Nila memberikan kesan biru kepada pakaian yang berwarna putih, sekurang-kurangnya ia dapat menenggelamkan kesan karat itu tadi.
Selain daripada pakaian putih bertukar warna kepada kuning, penggunaan air juga tak berapa sesuai digunakan untuk memasak makanan kerana kandungan karatnya yang tinggi. Jadi selain daripada mandi dan basuh pinggan, air paip hanya sesuai untuk digunakan menyiram bunga. Tak lebih daripada itu. Dulu tak ada penapis seperti COWAY dan CUCKOO macam sekarang yang dapat menapis partikel partikel asing dalam air. Urusan masak memasak banyak menggunakan air botol besar yang ditapis dan dibeli di kedai .
Akhirnya , abah mengupah orang memasang telaga tiub menggantikan air telaga kerajaan. Setelah telaga tiub ini dipasang, abah segera menutup paip kerajaan kerana tidak mahu lagi hanya sekadar membayar bil meter air . Telaga tiub biasanya dipasang dengan menggunakan kaedah "boring" air. Kaedah boring air ialah kaedah menggali lubang berdiameter 5 ke 15 cm dan berkedalaman lebih daripada 10 m ke dalam tanah untuk mendapatkan air bawah tanah .
Alhamdulillah. Nilam Puri merupakan tanah yang "cantik" airnya di mana air yang terhasil tidak berbau, jernih , tidak tercemar dan tawar. Aku pasti lebih daripada 90% daripada penduduk kampungku menggunakan telaga tiub sebagai sumber air harian. Namun tak semua tempat sesuai digunakan sistem air daripada telaga tiub ini. Ada sesetengah tempat airnya berwarna hitam, ada yang terlalu banyak pasir atau lumpur, ada yang berbau dan ada yang tak keluar langsung airnya . Bergantung dengan "nasiblah".
Aku tak pasti mengapalah isu air ini tak selesai-selesai sedangkan kerajaan Kelantan sekarang ini partinya merupakan sebahagian daripada pemerintah negara ini. Jika ada orang mengatakan negeri Selangor teruk sistem pengurusan airnya, aku pasti orang tu mungkin tak tahu bahawa Kelantan lagi teruk keadaannya. Kami di sini berpuluh tahun menghadap isu yang sama. Kalau dulu dulu modal "tak ada duit" atau "kerajaan pusat zalim" digunakan untuk menjawab isu air, kenapa keadaan ini berlanjutan sehingga sekarang?.