SUMBANGAN UNTUK ANAK MURIDKU

0
 

Awal pagi tadi saya telah memuat naik satu status berkenaan keadaan anak murid saya dan keluarganya yang diuji . Boleh dilihat melalui screenshot di bawah sebelah kiri. Ibunya memohon daripada NGO Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar jika ada bantuan kewangan. Memandangkan kami bukannya sebuah NGO yang ada peruntukan tetap daripada mana-mana agensi mahupun syarikat, saya menulis status tersebut supaya ada yang sudi menderma kepada mereka ini.
 
Tak sampai 10 minit saya memuat naik status tersebut, ada seorang hamba Allah menghantar whatsapp secara peribadi kepada saya berkenaan kesudiannya untuk membayar yuran persekolahan dan kelengkapan persekolahan . Hamba Allah ini selalu memberikan sumbangan bagi menggerakkan projek NGO kami sebelum ini.
 
Saya tak tahu berapa jumlah yang diperlukan oleh keluarga anak murid saya ini. Oleh sebab itu, saya terus mengadakan ziarah ke rumah murid saya pada hari ini bagi mendapatkan maklumat yang sebenar. Kedatangan saya disambut oleh ibu dan ayah anak murid saya ini. Anak murid saya pula agak pemalu orangnya. Tapi tak mengapalah .
 
Berat mata memandang . Berat lagi bahu memikulnya. Begitulah perumpamaan yang boleh disampaikan bagi menggambarkan ujian yang dialami oleh keluarga ini. Alhamdulillah. Hamba Allah ini telah memindahkan wang sebanyak RM 600 kepada akaun NGO kami untuk disampaikan kepada anak murid saya ini. Sekurang-kurangnya wang ini dapat digunakan untuk membayar yuran, membeli pakaian dan kelengkapan sekolah dan wang saku bagi anak murid saya ini.
 
Insyaallah saya akan sampaikan kepada keluarga ini dalam masa terdekat. Semoga Allah merahmati dan memberkati rezeki yang dikongsi bersama oleh penderma ini kepada anak murid dan keluarganya ini. Amin.
 
***********************************************
Perkhabaran yang baru saya terima .
 
Ada seorang pendidik turut menyumbangkan RM 200 untuk anak murid saya ini menjadikan sumbangan terkumpul setakat ini sebanyak RM 800 . Alhamdulillah.
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)