Hari ini singgah sebentar di Surau Suluk, Panchang Bedena untuk solat. Lama sudah saya menyimpan hasrat untuk singgah ke sini tapi tak berkesempatan. Alhamdulillah hari ini dipermudahkan urusan saya ke sini. Sejarah pembinaan surau ini tidak saya ketahui. Mungkin saya perlu menemuramah penduduk sekitar untuk mendapatkan maklumat sebenar mengapa ia dipanggil surau suluk dan bilakah surau ini dibina. Surau ini terletak tidak jauh daripada Pekan Sungai Besar iaitu 2 km sahaja. Lokasi surau ini berhampiran jalan besar Jalan Persekutuan 5 (FR5) dan berhampiran Maahad Tahfiz Pusat As-Sollihin , Panchang Bedena.
Menurut sumber Wikipedia, Suluk bermaksud,
Suluk secara harfiahnya bererti menempuh (jalan). Dalam kaitannya dengan agama Islam dan sufisme, kata suluk bererti menempuh jalan (kerohanian) untuk menuju Allah.
Menempuh jalan suluk (bersuluk) mencakupi sebuah bidang disiplin seumur hidup dalam melaksanakan aturan-aturan eksoteris agama Islam (syariat) sekali gus aturan-aturan esoteris agama Islam (hakikat). Ber-suluk juga mencakupi hasrat untuk Mengenal Diri, Memahami Esensi Kehidupan, Pencarian Tuhan, dan Pencarian Kebenaran Sejati (Ilahiyyah), melalui penempaan diri seumur hidup dengan melakukan syariat lahiriah sekali gus syariat batiniah demi mencapai kesucian hati untuk mengenal diri dan Tuhan.
Kata suluk berasal daripada terminologi Al-Quran, Fasluki, dalam Surah An-Nahl [16] ayat 69, Fasluki subula Rabbiki zululan, yang bermaksud Dan tempuhlah jalan Rabb-mu yang telah dimudahkan (bagimu). Seseorang yang menempuh jalan suluk disebut Salik.