MISI BANJIR 1.0 : BERBAKTI DI TAMAN MAZNAH, KLANG

0

 



Alhamdulillah. Semalam Gerila Kebajikan Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) DUN Sungai Besar dengan kerjasama Amal Relief - ARIF Sungai Besar telah mengadakan khidmat bantu pembersihan di Taman Maznah , Klang. Program ini disertai oleh 30 sukarelawan yang menggunakan 6 kenderaan yang terdiri daripada 2 pacuan 4 roda dan 4 kereta persendirian.
 
Perjalanan ke Klang bermula pada pukul 9.00 pagi dan sampai ke Sungai Besar semula pada pukul 10 malam. Fokus program kali ini melibatkan sebuah taman didikan kanak-kanak dan 5 buah rumah persendirian yang terjejas teruk dalam banjir yang melanda kawasan terbabit beberapa hari yang lepas .
 
Kehadiran kami disambut dengan baik oleh para penduduk yang terlibat memandangkan mengikut perkhabaran penduduk di situ, tak ramai NGO yang turun membantu di situ . Kami antara NGO yang terawal yang membantu misi pembersihan di situ memandangkan kawasan tersebut mula kering airnya dua hari yang lepas.
 
YB Tuan Gunarajah a/l R George , ADN DUN Sentosa turut hadir ke tempat gotong royong kami dan menzahirkan jutaan terima kasih kepada kami atas kesungguhan kami datang daripada jauh untuk membantu membersihkan premis dan rumah yang terjejas akibat banjir beberapa hari yang lepas.
 
Insyaallah program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti TEAM BANJIR NGO SUNGAI BESAR dalam usaha menyantuni dan meringankan beban mereka yang terjejas dengan banjir samada di daerah Sabak Bernam mahupun di luar Sabak Bernam. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program kali ini. 
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)