Penulis : Raja Azliza,1981
Edisi : Cetakan pertama.
Penerbit :Kemilau Publika
Tahun terbitan : 2014
Format: Buku
Mukasurat : 128
Malam ini sempat menghabiskan bacaan buku ini selama lebih kurang 2 jam (8.20 malam hingga 10.05 malam). Buku yang setebal 128 mukasurat ini banyak saya skip helaiannya kerana banyak memuatkan hadith dan ayat Qur'an yang agak panjang. Tetapi saya fikir ia tidak mencacatkan maksud sebenar yang ingin diceritakan oleh penulis buku ini.
Buku ini merupakan travelog Raja Azliza , yang merupakan seorang penghidap penyakit mental (bipolar disorder). Penyakit ini telah menyerang Raja Azliza semenjak dia menuntut di UNITEN lagi . Buku ini menceritakan tentang jerih dan kepayahan seorang penghidap penyakit mental dalam menghadapi penyakit yang tidak boleh dilihat secara fizikal ini.
Dalam buku ini juga beliau juga menceritakan tentang stigma masyarakat terhadap pesakit mental sepertinya di mana mereka menganggap semua penyakit mental adalah "gila" dan "tidak waras". Sesetengah majikan juga agak skeptikal terhadap pesakit mental ini sehinggakan mereka tidak mahu terus menggajikan mereka yang ada penyakit seperti ini.
Perjuangan beliau untuk mendapatkan pekerjaan tetap ada diceritakan di dalam buku ini.
Pada pendapat saya, buku ini agak ringan dan sesuai dibaca oleh orang awam yang tidak ada asas dalam bidang perubatan dan farmasi.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Catatan Raja Azliza pada GoodReads
Buku ini adalah catatan sebuah harapan bagi penulis. Beliau sudi berkongsi cerita mengenai perjalanan kehidupan sebagai seorang yang berpenyakit mental.
“Aku harus selalu ingat, apa jua ujian yang singgah menerpa adalah untuk menguji sejauh mana tahap kesabaranku. Ianya adalah mungkin selama ini kerana aku terlupa. Kadangkala kita terlalu leka dengan nikmat kurniaan Ilahi. Maka dengan itu, datanglah sedikit ujian untuk menguji tahap keimanan kita. Apabila kita di dalam kesusahan akan terasalah seperti hidup ini terlalu payah dan berbagai persoalan datang menerjah, lalu barulah meminta petunjuk serta hidayah daripada Allah SWT.
Apa yang aku sering lupa adalah untuk tidak berputus asa. Dengan tidak berputus asa kita akan berasa ada rahmat yang tersembunyi di sebalik ujian yang datang. Rahmat yang mungkin kita tidak ketahui dan sedari. Untuk itu, dalam meneruskan untuk mencari mardhatillah (redho Allah), teruslah berdoa pada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. –