LANGKAH PERTAMA PENSEJARAHAN DI SABAK BERNAM

0

 

Sebenarnya , semasa ambang PRU 15 yang lalu, berlaku sedikit perbincangan antara saya dengan beberapa orang petugas sambilan SPR. Mereka ini semua anak muda lepasan universiti dan mereka merupakan anak tempatan Sabak Bernam. Saya ada bertanyakan serba sedikit tentang sejarah di Sabak Bernam ini terutama sejarah Lubok Pusing. Malangnya ,semuanya tak tahu sejarah yang ada di Lubok Pusing itu. Bahkan ada yang tak tahu manakah lokasi Lubok Pusing itu walaupun tinggal tak sampai 10 km daripada situ.
Saya bukannya provoke atau menguji adik-adik itu. Saya cuma cuba membuka pemikiran mereka untuk sama-sama meneroka satu lagi peluang pelancongan di Sabak Bernam, iaitu pelancongan berasaskan sejarah. Saya tahu mereka mahasiswa lepasan universiti, sebab tu saya cuba menjentik hati mereka untuk memikirkan bagaimana "sejarah: Sabak Bernam itu boleh dijadikan tarikan pelancong ke Sabak Bernam.
 
Saya bagi satu contoh. Di Sabak Bernam sendiri terdapat sebuah masjid antara yang tertua di Selangor iaitu Masjid Panchang Bedena Lama iaitu Masjid Jin. Masjid ini dibina pada tahun 1905 semasa kedatangan ramai peneroka daripada Tanah Jawa, Sulawesi dan Banjar Masin. Masjid ini alhamdulillah telah dipelihara dengan baik oleh pihak berkenaan . Cuma, papan tanda yang menerangkan tentang sejarah masjid ini tidak kelihatan . 
 
Sepatutnya , pada tempat-tempat yang bersejarah di Sabak Bernam ini, terdapat papan tanda yang menceritakan tentang apakah sejarah di sebalik tempat atau bangunan tersebut. Saya ambil contoh Masjid bersejarah di kampung saya iaitu Kampung Nilam Puri. Kelantan. Dulunya terdapat masjid terawal di Asia Tenggara iaitu Masjid Kampung Laut di situ (sebelum dipindahkan kembali ke kampung asalnya di Kampung Laut, Tumpat). 
 
Di sekeliling masjid tersebut terdapat beberapa papan tanda batu dibuat untuk menerangkan sejarah masjid tersebut. Papan-papan tanda itu ditulis dalam bahasa Melayu, Bahasa Inggeris , bahasa Arab dan bahasa Cina. Jadi para pelancong yang datang ke sana tidak perlu bersusah payah untuk Google atau bertanya kepada orang tempatan tentang sejarah masjid tersebut. Semuanya sudah tertulis di situ. Boleh rujuk gambar di bawah.
 
Saya berpandangan bahawa pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Sabak Bernam dengan kerjasama Jabatan Muzium haruslah mengambil pendekatan menaikkan kembali tempat-tempat bersejarah di Sabak Bernam ini. Saya khuatir generasi muda pada hari ini tidak lagi mengetahui asal usul mereka walaupun mereka mungkin dilahirkan dan dibesarkan di Sabak Bernam ini sekiranya tidak ada usaha untuk mengangkat kembali sejarah di sini.
 

Catat Ulasan

0Ulasan
Catat Ulasan (0)